Autisme

nurcahyo

New member
AUTISME

Istilah autisme digunakan untuk mentakrif corak kelakuan anak yang berpunca daripada kesukarannya untuk berinteraksi dengan orang lain, termasuk ibu bapanya. Anak yang autistik hidup dalam dunianya tersendiri. Misalnya, walaupun anak tidak pekak, anak seakan-akan tidak mendengar apa yang dikatakan kepadanya. Ramai antara mereka langsung tidak bertutur atau bertutur dengan cara yang aneh. Jika ibu bapa mengimbas kembali sejarah anak, mereka akan mendapati semasa bayi anak jarang tersenyum dan tidak pernah meminta untuk didukung.

Sejak penyakit ini mula dibincangkan pada tahun 1943, pelbagai teori tentang punca gangguan ini telah dikemukakan tetapi baru kini diketahui bahawa keadaan ini bukan berpunca daripada perlakuan ibu bapa atau tindak balas terhadap faktor persekitaran. Autisme biasanya tidak dikesan sehingga ibu bapa mendapati bahawa anak mereka masih belum pandai bertutur. Pada ketika ini, anda mungkin menyedari hakikat bahawa anak kerap menyisihkan diri dan menghabiskan masa bermain seorang diri. Kerap kali anak akan menunjukkan kelakuan yang tertentu, seperti menyentuh benda dalam turutan yang tertentu atau menggoyangkan badannya ke depan dan belakang. Jika diganggu, anak akan melenting dan membuat perangai. Kelakuan ini menunjukkan keperluannya untuk berada di persekitaran yang tidak berubah. Ada kanak-kanak autistik yang sangat peka terhadap sesuatu benda. Misalnya mereka akan menumpukan perhatian terhadap pergerakan tangan atau jari atau menggosok-gosok sesuatu permukaan seakan-akan menghayati tekstur.

Tanda-tanda

* Tidak suka bersosial.
* Pendengaran tidak normal.
* Mengelak daripada bertentang mata.
* Gangguan pertuturan.
* Corak kelakuan yang berulang.
* Tidak mengendahkan rasa sakit.

Apakah yang boleh dilakukan?

Kanak-kanak autistik perlu dihantar ke sekolah yang khas seelok-eloknya semasa anak masih kecil lagi. Jika ibu bapa mendapati sukar menjaga anak di rumah, rawatan di rumah yang mempunyai suasana yang terapeutik disyorkan. Pelbagai terapi bagi autisme telah dicuba. Namun, hasilnya tidaklah begitu menggalakkan. Psikoterapi yang intensif juga tidak memberi sebarang tindak balas manakala ubat yang mengandungi trankuilizer hanya sesuai diberikan untuk mengawal kelakuan yang ganas sahaja. Terapi kelakuan dan terapi pelukan (ibu bapa digalakkan memeluk anak selama yang boleh untuk mengeratkan perhubungan fizikal dan emosi) didapati sangat menggalakkan. Namun, setiap jenis terapi perlu disyorkan serta dikendalikan oleh pakar dalam bidang tersebut.

Stoppard, Miriam. Panduan Penjagaan Kanak-kanak. Tropical Press, 1998. ms 59.
 
Back
Top