Sejarah Film Blackhawk Down versi Malaysia

wnks

New member
Tulisan saya dapat di inbox kerja saya yang dikirim oleh teman sesama pekerja di UN (tetapi berbeda misi) Mungkin yang mengirimkan ke saya juga mendapatkan ini dari forum-forum yang mungkin juga anda kenal. Cuma tidak ada salahnya saya berbagi

Nostalgia misi berani
Oleh Sabaruddin Abd Ghani

PERISTIWA tembak-menembak untuk menyelamatkan sekumpulan anggota
tentera Amerika Syarikat yang terperangkap di Pasar Bakaran,
Mogadishu, Somalia yang dikepung puak pemberontak 12 tahun lalu masih
segar dalam ingatan Mohd Ariffin Mohd Uning, 43.

Ketika itu dia bersama 60 anggota Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu
Diraja (RAMD) yang bertugas di bawah pasukan pengaman Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbabit dalam operasi menyelamat askar
Amerika berkenaan.

Bandar Mogadishu yang dikuasai pemberontak diketuai Mohamed Farrah
Aidid sukar ditembusi tentera pengaman berikutan pengikutnya akan
membunuh siapa saja yang cuba memasuki bandar itu.

"Tragedi bermula apabila sebuah helikopter jenis Black Hawk cuba
menurunkan anggota tentera Amerika ke pasar berkenaan menggunakan tali
dan ditembak jatuh pemberontak pada 3 Oktober 1993.

"Menurut laporan, semua anggota tentera berkenaan terperangkap dan
pihak Amerika berusaha beberapa kali untuk menyelamatkan mereka tetapi
gagal. Askar Amerika dilengkapi peralatan serba canggih yang cuba
memasuki pasar itu menerima tentangan sengit puak pemberontak lalu
mengambil keputusan pulang ke kem.

"Pasukan tentera Pakistan dan India diarah membantu, tetapi menolak.
Akhirnya, tentera kita diarah menyelamatkan askar Amerika yang
terkepung itu.

"Tentera Amerika buntu dan merayu tentera Malaysia menjalankan operasi
berbahaya itu. Kita tiada pilihan. Selepas diberi taklimat mengenai
operasi itu, pasukan kami diketuai Leftenan Azman meninggalkan kem
pasukan pengaman di Mogadishu jam 11 malam dan sampai di Bakaran
Market jam 7 pagi keesokannya," kata bekas Koperal Mohd Ariffin yang
bertugas sebagai makanise Batalion ke-19 RAMD.

Dengan menaiki 16 unit kereta perisai jenis Condo, anggota tentera
Malaysia bergerak secara konvoi dalam keadaan cukup bersedia tetapi
berhati-hati menghadapi sebarang kemungkinan.

Jika perjalanan biasa tidaklah mengambil masa begitu lama sangat,
tetapi dalam keadaan cukup bahaya itu, setiap pergerakan perlu
berhati-hati.

Tambahan pula, mereka terpaksa mengelak periuk api ditanam di atas
jalan dan tembakan penembak curi dari arah merata tempat menyebabkan
pergerakan terganggu.

Dalam keadaan cukup berbahaya itu, seorang pemandu Condo, prebet Adnan
terkorban akibat tembakan senjata antikereta kebal yang menembusi
tingkap kenderaan dipandunya.

Mohd Ariffin berkata, keberanian Leftenan Azman memberi arahan serta
menyusun strategi menghadapi serangan pemberontak ketika operasi
menyelamat menaikkan semangat pasukan.

Ditanya perasaannya ketika itu, bekas tentera ini berkata, sukar
hendak digambarkan. Peluru, bom tangan dan tembakan senjata antikereta
kebal bersimpang-siur.

"Dalam keadaan amat genting dengan serangan bertalu-talu kumpulan
pemberontak menggunakan pelbagai jenis senjata, akhirnya pada jam 7.45
pagi pasukan kami berjaya membawa keluar semua tentera Amerika yang
nyaris menjadi tawanan itu.

"Saya tidak pasti sama ada tentera Amerika cedera atau terkorban
kerana selepas selesai misi berkenaan saya ditugaskan mengawal
lapangan terbang.

"Apa yang saya ingat, berikutan kejayaan operasi itu askar Amerika
tidak lagi sombong dengan tentera Malaysia. Sejak itu, pasukan kita
dihormati tentera negara lain," katanya.

Amat malang sekali, dalam filem Hollywood yang berjudul Black Hawk
Down, penerbitnya memutarbelitkan peristiwa itu dan memperkecilkan
peranan yang dimainkan tentera Malaysia. Filem itu memaparkan kononnya
tentera Amerika yang terperangkap di pasar Bakaran selepas helikopter
ditembak jatuh diselamatkan kira-kira 120 tentera elit Amerika.

Batalion ke-19 RAMD menyertai misi keamanan di bawah pasukan Malaysia
Batalion (Malbat) selama enam bulan dari Julai hingga Disember 1993.

Koperal Mohd Ariffin menamatkan perkhidmatan pada 1995 selepas
berkhidmat selama 15 tahun dalam tentera. Dia kini menetap bersama
keluarganya di Kampung Sungai Jagung, Sungai Petani Kedah.

Nb: dari milis..malaysia
 
Back
Top